anisa
Bersama- samalah kita hidup kearah mendapat keberkatan Allah SWT semoga kita tak terasa dihimpit oleh apa yang berlaku sekarang...

Pengumuman kenaikan harga petrol semalam disambut riang oleh rakyat Malaysia sehingga stesen-stesen minyak di seluruh negara berpesta sakan. Kenaikan ini pada mulanya di umumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad bahawa berkuatkuasa Ogos nanti namun indah khabar dari rupa. Kenaikan sebanyak 78 sen kepada RM2.70 seliter menggambarkan situasi yang sangat membimbangkan ramai pihak terutama individu yang berpendapatan rendah dan sederhana. Kekhuatiran kenaikan harga barang juga menjadi perdebatan yang hangat di meja kedai kopi hingga ke meja makan dapur. Rakyat semakin resah, paniknya semakin bertambah. Dalam masa yang sama juga petrol sudah membakar aqidah.

Membakar Aqidah

Selepas pengumuman tersebut, dunia seolah-olah mengalami kiamat kecil. Stesen-stesen minyak sesak sejak awal petang lagi hingga lewat tengah malam. Solat maghrib terlepas begitu sahaja akibat kesesakan yang dialami sehingga ada beberapa individu yang bergaduh kerana berlanggar sesama sendiri. Cacian juga hinaan dilontarkan kepada kereta-kereta yang memotong barisan tanpa mengira bangsa atau agama. Setibanya di rumah lewat malam dalam keadaan yang sangat memenatkan, solat isyak tergadai begitu sahaja akibat panggilan bantal dan tilam lebih enak berbanding panggilan Ilahi untuk mengadap-Nya.

Umat Islam terutamanya sanggup mengeluarkan kenyataan yang berbaur syirik kecil;

'Matilah aku harga minyak sudah naik. Kalau tak isi malam ni akulah manusia paling rugi di dunia'

Ayah di rumah pening memikirkan sumber pendapatan dan kos sara hidup yang semakin meningkat sehingga menolak keyakinan terhadap REZEKI dan KEBERKATAN kurniaan Allah s.w.t kepada sekalian hamba-Nya. Ibu di dapur sebak lalu menangis mengenangkan kesulitan yang bakal dihadapi dalam membesarkan anak-anak sehingga Kekuasaan dan Keesaan Allah s.w.t diketepikan secara perlahan-lahan tanpa sedar.

Masyarakat semakin kurang solat berjemaah gara-gara masjid jauh dari rumah dan penjimatan minyak diutamakan kepada pengunaan untuk mencari nafkah di luar. Jika dahulu setiap kali hujung minggu ziarah saudara- mara menjadi rutin, tetapi alasan kenaikan harga petrol menjadi penghalang utama mengikat silaturrahim sesama saudara Islam. Ceramah- ceramah agama makin berkurang hadirinnya akibat langkah penjimatan yang dilakukan oleh masyarakat sampai ke tahap yang membimbangkan.

Peniaga-peniaga menaikkan harga barang dengan sewenangnya walaupun menerima subsidi sehingga hilang keimanan mereka kepada Allah s.w.t Yang Maha Melihat;

Tak siapa tahu aku menipu dengan naikkan harga. Tak siapa nampak aku simpan stok untuk tinggikan lagi harga

Remaja-remaja rempit yang berkeliaran kian giat merompak dan meragut untuk menyara tunggangan mereka yang bernama 125Z dan RXZ. Jenayah seksual juga semakin meningkat akibat kos kenduri dan pernikahan dalam masyarakat Melayu terutamanya menghambat pasangan yang ingin berumahtangga untuk menyediakan sekurang-kurangnya puluhan ribu ringgit. Keinginan yang menggila untuk menyediakan pelamin yang gah, kenduri yang besar, persalinan pengantin yang banyak, upah jurugambar, dan sebagainya menjerut leher mereka sendiri sehingga menolak persoalan KEBERKATAN dalam pernikahan itu sendiri. Tidak hairanlah muda-mudi hari ini memilih jalan yang paling mudah untuk mengisi keperluan mereka sebagai manusia yang sudah lanjut usia dengan menyewa hotel murah bersama pasangan tanpa mengeluarkan belanja yang besar. Malah lebih teruk lagi ada yang menculik dan merogol sesiapa sahaja yang berkesempatan.

Bagi keluarga yang sudah biasa dengan hidangan yang sedap serta mahal harganya mula resah akibat kenaikan harga barangan yang melambung. Hidangan yang dihadkan kepada lauk-pauk yang murah mengakibatkan anak- anak mula merajuk. Isteri di dapur pula sehari semalam berleter kepada si suami untuk mencari wang yang lebih untuk menyara keluarga. Suami yang kepenatan tertekan dan kadang-kala boleh menjurus ke arah membunuh diri. Struktur sosial keluarga kian terhakis satu demi satu.

Kenderaan di halaman rumah yang memerlukan petrol yang mencukupi untuk digerakkan menjadi harta utama yang dipandang oleh masyarakat. Hanya kerana ingin bergaya, kereta mewah dan menggunakan petrol yang banyak sanggup dibeli semata-mata memenuhi pandangan masyarakat terhadap KEBAHAGIAAN dan KEJAYAAN yang salah takrifannya.

Situasi ini menampakkan kepada kita kerakusan manusia dalam mengejar kepentingan sendiri tanpa memikirkan soal hidup orang lain.

Masyarakat yang longgar aqidah mereka kian menjunam ke lembah syirik secara perlahan-lahan. Benar bukan? Petrol membakar aqidah.

Bertuhankan Dunia

Situasi ini berlaku apabila manusia itu sendiri menyembah dunia serta menolak kebenaran Islam yang dibawa melalui al-Quran dan al-Sunnah. Persoalan gaya hidup mewah menjadi kegilaan yang sangat menggerunkan sehingga ada yang sanggup menggadaikan maruah dan kehormatan untuk mencapai kesenangan hidup. Lambakan iklan-iklan yang menjaja kemodenan yang berteraskan nafsu dikayakan dalam media massa serta disuntik ke dalam pemikiran rakyat. Maka, masyarakat selesa berada dalam keadaan mewah ini tanpa memikirkan persoalan nasib orang lain yang tertindas dan hidup dalam serba kekurangan.

Kenderaan mewah yang menimbulkan kemegahan masyarakat selama ini menjadi ukuran kekayaan seseorang di mata masyarakat. Malah hampir semua perniagaan langsung dan Multi Level Marketing (MLM) menggambarkan usahawan yang berjaya mesti memiliki kerta mewah sebagai kayu ukur kejayaan hidup seseorang. Adakah benar dengan memiliki kereta mewah seseorang itu dianggap berjaya? Kejayaan dalam konteks kebendaan yang dilihat ternyata merosakkan sistem masyarakat. Masyarakat sudah menodai Rukun Negara yang pertama tanpa disedari; Kepercayaan Kepada Tuhan.

Persoalan gaya hidup yang terlalu mementingkan kemewahan dan keselesaan menampakkan kepincangan mentaliti masyarakat, tidak terkecuali kepada umat Islam. Saranan gerakan sivil serta pertubuhan- pertubuh an bukan kerajaan selama ini yang tidak diambil endah kian difokuskan sebagai jalan keluar segala permasalahan yang dihadapi saban hari. Dahulunya pandangan golongan ini dianggap sebagai kurang waras oleh masyarakat akibat racun pihak media massa yang menusuk setiap urat nadi rakyat.

Memadam Kebakaran

Saranan YAB Perdana Menteri Malaysia , Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada rakyat untuk menukar gaya hidup dilihat sebagai meludah ke langit. Sebagai seorang pemimpin yang beragama Islam, riwayat hidup saidatina Khadijah wajar dijadikan sebagai iktibar dan pedoman kepada seluruh umat Islam. Apabila musyrikin Mekah memboikot penganut Islam ketika itu, saidatina Khadijah tampil dengan menggunakan kesemua hartanya sebagai penyelamat kepada kesengsaraan yang dialami umat Islam sehingga beliau jatuh miskin. Saidina Abu Bakar pula sanggup menghabiskan semua hartanya dalam membantu penderitaan umat Islam sehingga beliau berkata:

'Hanya Allah s.w.t dan Rasul-Nya sahaja yang aku tinggalkan kepada isteri dan anak-anakku'

Tauladan yang mulia ini sepatutnya dijadikan ikutan setiap umat Islam yang benar-benar beriman kepada Allah s.w.t dan percaya kepada pertolongan- Nya dalam setiap kesulitan yang dihadapi. Jika umat Islam memahami syariat Islam serta mengambil tindakan bersama untuk menangani segala permasalahan yang dihadapi berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah, tidak ada yang mustahil dengan pertolongan dari-Nya.

Majoriti menteri dan ahli parlimen beragama Islam. Malah kekayaan golongan ini mencapai ke suatu tahap yang sangat tinggi sama ada melalui pengisytiharan harta secara terbuka mahupun yang disembunyikan. Tidak mustahil dengan ketokohan golongan ini mengambil iktibar keperibadian saidina Abu Bakar al-Siddiq serta saidatina Khadijah sedikit sebanyak mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi krisis harga petrol yang melambung. Sangat sukar tetapi tidak mustahil. Mengapa? Penanaman aqidah yang sahih dalam diri masyarakat di Malaysia sedikit longgar sejak kecil akibat kepincangan sistem pendidikan namun keyakinan kepada ganjaran Allah s.w.t wajib menjadi pegangan utama. Peringatan ini harus diulangi saban hari.

Firman Allah s.w.t dalam Kitab-Nya:

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)

[Al-Quran Surah Ar-Ruum 30:41]

Mari kita sama-sama memikirkan kembali kerosakan yang kita lakukan di dunia sama ada bersifat zahiriah mahupun batiniah. Semoga Allah s.w.t menghimpunkan kita dalam golongan yang bersyukur dengan apa yang ada dan beriman kepada-Nya dengan sebenar-benar iman. Astaghfirullah.
Labels: , edit post
0 Responses