Di antara sebab kebahagiaan adalah meluangkan waktu untuk mengkaji, memberi perhatian kepada pembacaan dan mengembangkan kekuatan otak dengan beberapa hikmah.
Al-Jahizh menasihatkan supaya sentiasa membaca dan mengkaji agar dapat mengusir kesedihan daripada anda. Katanya: “Buku adalah teman sejati yang tidak akan memujimu dengan berlebihan, sahabat yang tidak akan menipumu, dan teman yang tidak membuatmu bosan. Dia adalah teman yang sangat toleran yang tidak akan mengusirmu, dia adalah tetangga yang tidak akan menyakitimu, dan dia adalah teman yang tidak akan memaksamu mengeluarkan apa yang anda miliki. Dia tidak akan memperlakukanmu dengan tipu daya, tidak akan menipumu dengan kemunafiqan, dan tidak akan membuat kebohongan.”
Buku adalah sesuatu yang jika anda lihat, maka akan memberikan kenikmatan yang panjang, dia akan menajamkan kemampuan intelektual, melancarkan lisan, dan membaguskan gerakan tangan.
Dia akan memperindahkan lafaz anda, akan menenangkan jiwa, dan akan melapangkan dada, memberikan penghormatan kepada orang-orang awam dan membuka jalan persahabatan dengan raja-raja, kepada anda.
Dengannya anda akan mengetahui bahawa sebulan anda bergaul dengan buku akan lebih baik daripada anda bergaul dengan orang seumur hidup.
Dengannya anda dapat menghindarkan hutang dan kesusahan mencari rezeki. Dengan buku anda tidak harus bersusah-payah menghadap seorang pengajar yang mencari makan dari usaha mengajar, tidak harus belajar dari orang yang secara akhlaq lebih rendah dari anda, dan tidak harus duduk bersama orang-orang yang hatinya penuh kedengkian dan dengan orang-orang yang kaya.
Buku adalah sesuatu yang akan sentiasa taat kepada anda baik di siang hari mahupun di malam hari. Dia akan setia baik dalam perjalanan mahupun ketika berada di rumah. Dia tidak menyakiti anda ketika anda sedang tertidur dan tidak akan menyakiti anda ketika anda sedang tertidur.
Dia adalah guru yang jika anda memerlukannya, maka ia tidak akan berasa malu untuk membantu, dan jika anda meninggalkannya kerana kebendaan, maka dia tidak akan memutuskan faedahnya.
Walaupun anda meninggalkannya, dia akan selalu taat. Walaupun orang sekitar memusuhi anda, maka dia tidak akan berpaling. Bila anda bersama buku atau menjadikannya sebagai pegangan, anda pasti lebih unggul daripada orang lain.
Buku tidak membahayakan anda dengan menenggelamkan anda dalam kemurungan dan berteman dengan keburukan, meskipun buku tidak dapat berbuat apa-apa terhadap anda. Akan tetapi, dengan membacanya anda akan terhindar dari perbuatan sia-sia, seperti duduk termenung di hadapan pintu atau memandangi cermin sambil bergaya di hadapannya sebagaimana biasa terjadi.
Buku dapat mencegah anda dari pandangan yang menyesatkan yang tidak penting, bergaul dengan manusia rendah, ikut serta dengan pembicaraan yang tidak berguna, perkataan yang merosak, akhlak yang buruk dan kebodohan yang tercela.
Dengan membaca buku, anda memperolehi keselamatan, untuk selanjutnya mendapatkan harta. Di samping itu anda juga terhindar dari mensia-siakan waktu. Jika anda tidak menyibukkan diri dengan membaca, tentu anda akan terjebak dalam perbuatan yang melalaikan dan tidak berguna. Ringkasnya, buku akan memberikan kenikmatan dan kebaikan yang besar.
Dan sesungguhnya telah kita ketahui bahawa sebaik-baik cara untuk mengisi waktu terluang pada siang hari dan menghindari terbuangnya waktu percuma pada malam hari adalah dengan membaca buku.
Orang yang suka menganggur tidak akan dapat memanfaatkan waktu terluangnya untuk kegiatan yang dapat menambah pengalaman, fikiran dan harga diri.
Membiarkan waktu terluang tanpa membaca buku sama sahaja dengan tidak dapat menjaga kehormatan diri, tidak dapat memperbaiki agama, tidak dapat mengembangkan harta, tidak dapat menjaga kreativiti (daya cipta - editor) dan tidak dapat merasakan ni’mat.
* * * * * * *
Peringatan indah ini dicedok daripada buku “Jangan Bersedih” (terjemahan La Tahzan) karya Dr. ‘Aidh bin Abdullah Al-Qarni, seorang sarjana Islam kelahiran Arab Saudi yang prolifik menghasilkan karya pelbagai genre dalam media cetak dan media bunyi, termasuk syair dan biografi ulama. Cergas dalam pertemuan dan persidangan antarabangsa dalam pelbagai bidang ilmu termasuk sastera dan matematik.